\\WardatulJannah//: Cintaku Hanya untuk Dia

Rabu, 13 Februari 2013

Cintaku Hanya untuk Dia



Bismillahirrohmanirrohim.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.. "..
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau Berikan Petunjuk kepada kami, & kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi." [Ali-Imran, 3: 8]


Sumaiyah ragu-ragu untuk meneruskan hubungan cinta dengan teman lelakinya. Hatinya entah kenapa terasa tawar dengan Malik. Hubungan mereka semakin hambar. Tak sehangat mula-mula dahulu. Hatinya sangat kuat mengatakan bukan itu caranya lelaki soleh & perempuan solehah menyemai cinta mereka. Bukan itu caranya Rasulullah saw mencintai Siti Khadijah melainkan dengan menikahi isteri tercintanya itu terlebih dahulu. Begitu juga kisahnya dengan Saidina Ali & puteri Rasulullah saw; Fatimah Az Zahra. Hatinya sangat yakin bukan itu caranya membenih cinta bagi mendapatkan keredhaan & kebahagiaan daripada Allah. Dia berasa sangat cemburu melihat teman sebiliknya yang kelihatan tenang dan gembira melalui hari-hari walaupun tanpa kekasih hati. Sumaiyah juga terasa rendah hati berjalan di sebelah Liyana yang sopan bertudung labuh itu. Liyana tidak pernah diganggu lelaki-lelaki jahat sebagaimana dia selalu diganggu dengan siulan & usikan nakal. Padahal, Sumayyah mahu lelaki-lelaki itu tahu bahawa dia juga bukanlah semurah yang mereka sangka. Dia juga tidak suka diganggu begitu. Apakah mesti dia berpakaian bertutup litup seperti Liyana barulah dia akan dihormati sedemikian juga? Mengapa Liyana nampak gembira, tenang & ceria walau tiada teman lelaki sepertinya...? Pernah Sumaiyah bertanya kepada Liyana, apakah gadis itu tidak bosan hidup tanpa kekasih hati? Liyana hanya tersenyum manis sambil menjelaskan; "Alhamdulillah, disebabkan tak ada pakwe ni saya semakin cintakan Allah, Rasulullah saw, ayah saya, abang saya, ibu saya, adik-adik saya, sahabat-sahibah saya... saya juga jatuh cinta kepada gerak kerja dakwah yang saya temui hanya kerana saya meninggalkan couple sebelum nikah..." "Awak takkan rasa sunyi kalau awak dekatkan diri kepada Allah. Allah akan isikan kesunyian & ruang kosong tersebut dengan ilmuNya, sahabat-sahibah yang baik, kasih sayang keluarga & yang paling penting... tanpa ada teman lelaki, kita akan lebih dekat dengan Allah, insyaAllah..." Waktu itu... Sumaiyah masih kabur-kabur. 3 TAHUN BERLALU.... Kini mereka berdua sama-sama ceria gembira di hari konvokesyen dengan jubah ungu gelap dan jambangan bunga masing-masing. Tiba-tiba, Sumaiyah seakan terperasan sesuatu. Dia melihat ada seorang lelaki asing di sisi Liyana. Lelaki itu menggenggam erat tangan Liyana & kadangkala mempebetulkan tudung gadis itu. Sumaiyah rasa pelik. Dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Langsung dia pun merapati gadis manis bertudung labuh tersebut. Sumaiyah berbisik di telinga Liyana. Waktu itu lelaki tadi berada agak jauh dari mereka berdua dan berbual-bual dengan ahli keluarga Liyana yang lain. "Siapa tu Liya? Pakwe awak eh?" soal Sumaiyah penuh tanda tanya. "Haah..." jawab Liyana sambil tersenyum manis. Nampak lesung pipit di kedua-dua pipinya. Sumaiyah terpana. Cis! Sampai hati Liyana membohonginya. Rupanya selama ini Liyana berlagak suci itu semuanya sekadar topeng & kepura-puraanlah? Hati Sumaiyah lebur. Dia baru sahaja mahu meminta pendapat Liyana. Dia baru sahaja mahu meminta tips menjadi wanita solehah daripada Liyana. Bagaimana mahu menjalani hidup solo tanpa teman lelaki namun masih gembira & ceria seperti Liyana selama ini. "Tapi... selama ni awak kata awak takde pakwe kan...?" ujar Sumaiyah nampak keliru. Liyana tergelak kecil. "Memang saya tak ada pakwe macam orang lain.. Pakwe saya ni special. Sebab dia adalah suami saya.." jelas Liyana sambil menyentuh lengan Sumaiyah dengan senyuman. "Suami...???" Sumaiyah terkejut. "Saya minta maaf tak beritahu saya nikah minggu lepas. Saya try contact awak tapi tak dapat... insyaAllah hujung minggu ni walimah kami.. ini kad jemputannya. Khas untuk awak.." ujar Liyana dengan lembut sambil menyerahkan kad berwarna ungu gelap bercorak silver itu kepada Sumaiyah. Sumaiyah melihat kad itu. Jemputan Khas Meraikan Penyatuan Dua Hati : Mohamad Iqbal Ishak & Yusra Liyana Mustafa. Mata Sumaiyah berair. Sekali lagi Liyana menyerahkan sesuatu ke tangannya. "Ini untuk awak Su.. saya dah lama perhatikan awak.. awak baik.. sangat baik. Jauh lebih baik dari saya. Hati awak lembut. Jauh lebih lembut dari saya. InsyaAllah.. bantulah jiwamu itu, ia benar-benar perlukan tarbiyyah... Jangan lepaskan hidayah Allah yang telah menyapa hati awak itu demi Malik yang masih belum sah menjadi suami awak..." nasihat Liyana dengan berhemah. Sumaiyah menjenguk plastik di tangannya. Tangannya mengeluarkan kain itu. Air matanya berjujuran ke pipi... Tudung Labuh berwarna hijau muda itu dibawakan ke wajahnya. Menutup wajah yang sudah dibasahi air mata. Liyana juga sebak pabila melihat tangisan temannya itu. Dipeluknya tubuh kurus lampai itu. Sumayyah tersedu-sedu. "Saya dah lama nak berubah... tapi saya ragu-ragu nak mulakan langkah. Saya takut nak mulakan langkah untuk tinggalkan Malik & mendekati Allah. Saya biarkan hidayah itu berlalu.. padahal saya nak sangat jadi macam awak Liya.. selama saya jalan dengan awak semua lelaki hormatkan awak. Tak pernah kacau awak. Kawan-kawan kelas kita yang minat kat awak pun tak kacau awak.. sebab mereka tahu awak perempuan mahal..." dalam esakan Sumaiyah meluahkan rasanya. "Saya pun nak jadi perempuan mahal... macam awak.. yang maruahnya dijaga oleh Allah.. Hanya lelaki yang terbaik saja yang mampu memiliki dengan mendekati wali awak, meminang awak dengan cara terbaik.. saya pun nak jadi wanita yang dihormati sebegitu..." luah Sumaiyah lagi. Basah tudung Liyana dengan air mata Sumayyah. Liyana meleraikan pelukannya.. "InsyaAllah awak boleh... mulakanlah dengan memutuskan semua hubungan-hubungan yang tidak halal di sisimu..." Liyana membantu mengelap air mata Sumaiyah. "Lelaki yang soleh hanya wanita yang solehah, Su.. Apabila Allah memberikan Hidayah kepada hambaNya, Dia pasti akan membantu hambaNya itu menyelusuri jalan untuk pulang kembali kepadaNya.. saya akan bantu awak, insyaAllah. selebihnya, USAHA awak sendiri seiring dengan tawakal kepada Allah." ************* Sumaiyah melihat helaian ke-2 buku nipis tersebut. Buku itu nampak sahaja nipis, namun sarat dengan tips & informasi. BAHAYA CINTA SEBELUM KAHWIN * Pasti kelak diriku ibarat lembu yang ditarik hidung oleh nafsu. * Menyibukkan hati merindui makhluk yang tidak halal bagiku seumpama membuka pintu bagi syaitan menjalankan jarumnya untuk melupakanku kepada Allah. * Hati terseksa dengan barah rindu kepada si dia. * Rindu palsu akan membelenggu minda hingga ia terjajah & terhina di bawah jajahan syaitan. * Cinta lalai akan menyebabkanku alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia & akhirat. * Aku boleh menjadi tidak rasional berfikir jika sudah mabuk cinta. * Fitnah dunia ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa & perasaan. * Jiwaku terganggu dalam menilai mana yang baik, mana yang buruk untuk diriku. * Jika aku & dia berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina atas dasar maksiat, yang akan mengundang padah kepada peribadi zuriat kami pastinya. Nauzubillah! Sumaiyah terkedu. Bait-bait kata-kata tulisan Ustazah Fatimah Syarha itu seakan-akan menyindirnya pula. Namun, dia sedar, kebenaran itu memang pahit untuk ditelan. Yang pahit itu akhirnya akan membuahkan kemanisan kelak. Kemanisan cinta kepada Allah. Sumaiyah ingin mencintai Allah. Apa itu jatuh cinta kepada Allah sebenarnya...? Selama ini dia hanya mengatakan di bibir bahawa dia seorang Islam, dia sayang nabi, dia sayang Allah. Tetapi di mana bukti dia benar-benar sayangkan Allah, Nabi & Islam? Sepatutnya jika benar-benar dia kasihkan Allah, Rasulullah saw & agama Islam, dia tidak akan sesekali melakukan perbuatan yang bercanggah dengan apa yang Allah perintahkan. Apa yang Rasulullah saw sarankan & Islam ajarkan. Rasulullah saw ada bersabda; "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai olehnya berbanding hartanya, anaknya, & seluruh manusia." [HR An-Nasai'e] Sumaiyah sedar... jika dia tidak berani memulakan langkah untuk 'mengorbankan' Malik, manakan mungkin dia bisa meraih cinta Allah.. Dia terlalu asyik dibuai cinta dengan manusia. Sampaikan dia lupa bahawa cinta Yang Lebih Utama iaitu cinta Allah tidak diraihnya. Air mata Sumaiyah jatuh ke pipi... Dimulai dengan nama Allah, Sumaiyah menaip mesej perpisahan itu untuk Malik. Dalam mesej itu dia meminta maaf, mengucapkan terima kasih dan memohon doa Malik supaya Allah sentiasa bersamanya dalam langkah mendatang.. "Saya nak menjadi wanita solehah & wanita solehah itu pasti akan berusaha untuk menyucikan hatinya daripada perkara-perkara yang tidak halal. Malik, awak bukan suami saya. Tak halal untuk saya mengucapkan kasih, sayang untuk awak selama ini. Patut pun saya tak merasa bahagia selama ini. Rupanya Allah tidak redha dengan setiap gerak laku kita... Ada baiknya kita bertaubat." Sumaiyah memandang tudung labuh pemberian Liyana tengahari tadi. Dia masih teringat bagaimana cerianya wajah Liyana di samping kekasih yang halal buatnya. Lelaki itu soleh dan bersih wajahnya. Redup pandangannya. Langsung tidak memandang Sumaiyah. Lelaki itu amat menjaga pandangannya. Alhamdulillah, Sumaiyah tahu, Liyana layak untuk lelaki sesoleh itu. "Kalau dengan pakwe, kita pegang & cium tangannya, Allah pandang kita dengan pandangan kemurkaan. Tapi, kalau kita dah nikah, kita pandang pasangan kita dengan kasih sayang tu pun adalah pahala... Bahkan Allah akan memandang kita dengan kasih dan sayang yang lebih-lebih lagi..." pesan Liyana. Lamunan Sumaiyah berkecai dengan adanya bunyi telefon bimbitnya. Balasan mesej Malik. "Saya dah lama nak kata perkara yang sama. Sejak saya rajin ke kuliah agama dan menyertai halaqah semester ni, banyak saya didedahkan dengan hal couple sebelum nikah itu haram. Kita sama-sama buat silap. Memang ini tarbiyyah dari Allah. Siapalah saya nak menghalang awak dari kembali kepadaNya? & saya pun tak sanggup memilih awak berbanding Dia yang Lebih Utama. Cukuplah setakat ini kejahilan kita. Marilah kita kembali semula ke landasan yang benar. Saya akan doakan awak, insyaAllah. Assalamualaikum.." Sumaiyah tersenyum. "Alhamdulillah.." Air matanya tumpah lagi. Hatinya terasa sangat lapang... Buku yang dipinjamkan oleh Liyana kepadanya ditatap dengan mata berair. PEMILIK CINTAKU SETELAH ALLAH & RASUL... adalah bakal zaujku kelak, insyaAllah.. InsyaAllah... cinta ini hanya untukNya...

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Guna bahasa yang digunakan oleh rakyat Islam